DUN Sabah: Kedudukan tempat duduk beberapa ADUN BN berubah

DUN Sabah: Kedudukan tempat duduk beberapa ADUN BN berubah

Kota Kinabalu: Persidangan Khas DUN Sabah hari ini menyaksikan tempat duduk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) berubah selaras perkembangan semasa politik Sabah ketika ini.

Tempat duduk baharu benerapa ADUN BN kini sebaris dengan tempat duduk blok pembangkang.

Carta kedudukan kerusi ADUN-ADUN.

Antaranya ialah ADUN Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin; ADUN Karambunai, Datuk Yakub Khan dan ADUN Sukau, Datuk Jafry Ariffin.

Bagaimanapun, kebanyakan ADUN UMNO BN tidak hadir kerana menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur seperti dimaklumkan Bung Moktar dalam kenyataannya pagi tadi.

Turut tidak hadir ialah semua ADUN WARISAN dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM)

Ia dipercayai mempunyai kaitan dengan kemelut politik yang berlaku di negeri ini selepas ADUN BN menarik semula sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Bagaimanapun, kedudukan kerusi ADUN Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya dan ADUN Sugut, Datuk James Ratib kekal berada di blok kerajaan.

Selain itu, kedudukan kerusi ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy juga dilihat masih kekal di blok kerajaan.

Hajiji dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa akan ada rombakan Kabinet dibuat dalam waktu terdekat dan keputusannya akan diumumkan dalam masa terdekat.

Situasi politik di Sabah kembali hangat apabila ADUN BN Sabah bertindak menarik sokongan terhadap Hajiji pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, terdapat lima ADUN BN Sabah yang mengambil keputusan untuk tidak menyertai tindakan itu, sebaliknya menyatakan sokongan terhadap Hajiji untuk terus mentabir Kerajaan Negeri.

Kelima-lima mereka ialah Shahelmey; Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit); Datuk James Ratib (Sugut); Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin) dan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|