DUN Sabah: 2 fasa pengambilalihan kuasa kawal selia tenaga Sabah

DUN Sabah: 2 fasa pengambilalihan kuasa kawal selia tenaga Sabah

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menetapkan pengambilalihan kuasa kawal selia sektor tenaga Sabah menerusi pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Tenaga Sabah di DUN Sabah, hari ini, menerusi dua fasa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang membentangkan RUU itu, berkata ia berdasarkan kelulusan secara prinsip jemaah menteri Sabah pada 2 November lalu mengenai pelan tindakan dan garis masa pengambilalihan kuasa kawal selia sektor tenaga Sabah.

Katanya, pengambilan kuasa kawal selia bermula dengan fasa pertama pada bulan ini iaitu mengambil alih kuasa daripada kerajaan persekutuan yang sebelum ini terletak di bawah Akta Suruhanjaya Tenag 2001 (berkaitan fungsi gas) dan Akta Bekalan Gas 1997.

“Fasa kedua pula dirancang kerajaan negeri pada April 2023 membabitkan pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu yang pada masa ini di bawah seliaan kerajaan persekutuan melalui Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 (berkaitan fungsi elektrik), Akta Bekalan Elektrik 1990, Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari2011 dan Akta Tenaga Boleh Baharu 2011,” katanya.

Jelasnya, kerajaan negeri sudah mendapatkan perintah penggantungan Akta Bekalan Gas 1997 dan Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 (berkaitan fungsi gas) di bawah Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan melalui mesyuarat jemaah menteri pada 31 Disember lalu.

Perintah itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 27 Disember 2022 dan berkuatkuasa pada hari ini (10 Januari).

“Selari dengan penguatkuasaan perintah itu, RUU bagi Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 hendaklah dibentangkan di DUN Sabah pada hari ini bagi memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk mengambil alih kuasa kawal selia sektor tenaga khususnya bekalan gas.

“RUU ini bertujuan mewujudkan suruhanjaya yang dikenali sebagai Suruhanjaya Tenaga Sabah. Setelah diluluskan, suruhanjaya ini akan dikenali sebagai Energy Commision of Sabah atau singkatannya ECoS,” katanya.

RUU yang mengandungi enam bahagian dan 43 fasal itu kemudiannya diluluskan sebulat suara selepas dibahas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Datuk Annuar Ayub (GRS – Liawan), Datuk Yong Teck Lee (GRS – Dilantik), Datuk Ewon Benedick (PH – Kadamaian) dan Datuk Dr Yusof Yacob (BN – Sindumin).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|