Bayi cukup sifat ditemui mati dalam tong sampah

Bayi cukup sifat ditemui mati dalam tong sampah

KOTA KINABALU: Mayat seorang bayi perempuan ditemukan di dalam sebuah tong sanitasi yang dipercayai dibuang berhampiran pusat beli belah terkemuka di Kota Kinabalu, semalam.

Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, bayi yang cukup sifat tersebut turut ditemui bersama sekeping nota dipercayai ditinggalkan ibu bapa mangsa berbunyi “SAYA MEMINTA MAAF DAN MEMINTA TOLONG MENCARI TEMPAT SESUAI UNTUK ANAK SAYA. TERIMA KASIH PERTOLONGAN ANDA. JANGAN KECAM SAYA. SAYA PUN TIDAK MAHU INI TERJADI.”

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Kalsom Idris, kejadian itu disedari oleh seorang penyelia syarikat pembersihan yang menemui mangsa di dalam plastik tong sampah.

“Hasil daripada pemeriksaan lanjut, kita mendapati mayat bayi perempuan cukup sifat ditemui dalam keadaan dibalut dengan kain tuala.

“Turut ditemui didalamnya adalah cebisan kertas yang difahamkan ditinggalkan suspek,” katanya.

Jelas beliau, polis masih menjalankan siasatan ke atas rakaman kamera litar tertutup di kawasan berkenaan bagi mengenalpasti individu yang terlibat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dengan sabit jika kesalahan penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil segera membantu siasatan polis, ” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|