Banjir: Mangsa banjir dipindahkan ke PPS terus meningkat

Banjir: Mangsa banjir dipindahkan ke PPS terus meningkat

Kota Kinabalu: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di empat daerah di negeri ini masih mencatatkan peningkatan, setakat jam 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata, seramai 1,532 mangsa daripada 560 Ketua Isi Rumah (KIR) telah direkodkan pagi ini.

Menurutnya, jumlah itu satu peningkatan berbanding 1,376 mangsa daripada 522 KIR yang dilaporkan pada jam 8 malam tadi.

Keadaan semasa di salah sebuah PPS yang masih beroperasi di daerah Paitan

“Berikutan pertambahan jumlah mangsa banjir itu, terdapat 10 PPS yang kini beroperasi bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir.

“Antara PPS yang terkini dibuka ialah Dewan Rancangan Nangoh, Dewan Kg Mauu dan Masjid (Lama) Gana Jati di Telupid,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Antara daerah yang masih mencatatkan mangsa ialah Pitas (1,152 mangsa), Telupid (226 mangsa), Paitan (111 mangsa) dan Lahad Datu (43 mangsa).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|