Polis cari penunggang motosikal wanita terbabit langgar lari

Polis cari penunggang motosikal wanita terbabit langgar lari

Tawau: Polis sedang mengesan seorang penunggang motosikal wanita yang dipercayai melarikan diri selepas merempuh seorang pejalan kaki sehingga menyebabkan kematian di Batu 3, Jalan Apas, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.40 petang itu, mangsa wanita berusia 69 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kemalangan membabitkan dua motosikal dan seorang pejalan kaki.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati ketika penunggang motosikal lelaki berusia 19 tahun dari arah Bandar Tawau menghala ke Batu 3, Jalan Apas menunggang di lorong kanan cuba mengelak seorang pejalan kaki wanita yang sedang melintas jalan.

Lokasi kejadian wanita warga emas maut dipercayai dilanggar sebuah motosikal di Batu 3, Jalan Apas, Tawau

“Lalu penunggang motosikal terbabit hilang kawalan dan terbabas ke bahagian pembahagi jalan di sebelah kanan.

“Apabila penunggang motosikal cuba mengangkat motosikalnya sambil menolek ke arah belakang, dia terlihat mangsa terbaring berhampiran sebuah motosikal berwarna kuning yang ditunggang oleh seorang wanita.

“Penunggang wanita itu telah melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Axia warna putih selepas kemalangan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah.

“Polis sedang berusaha mengesan penunggang motosikal terbabit bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|