Banjir: Mangsa banjir catat peningkatan, Telupid kembali terjejas

Banjir: Mangsa banjir catat peningkatan, Telupid kembali terjejas

Kota Kinabalu: Jumlah mangsa banjir di negeri ini kembali mencatatkan peningkatan susulan Telupid yang sekali lagi diisytihar sebagai daerah terjejas.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata, perkembangan itu menjadikan sebanyak empat daerah yang kini masih dilanda bencana banjir.

“Setakat jam 8 malam ini, seramai 1,376 mangsa daripada 522 Ketua Isi Rumah (KIR) telah direkodkan, berbanding hanya 1,225 mangsa daripada 475 KIR dilaporkan petang tadi.

“Sehubungan itu, kesemua mangsa yang terkesan telah dipindahkan ke lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang diaktifkan di daerah berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, antara PPS yang masih beroperasi ialah Dewan SMK Pamol, Dewan Kg Kusilad, SK Pekan 2, dan Dewan Pusat Latihan Vokasional Lahad Datu.

“Manakala di Telupid, selepas beberapa hari tidak mencatatkan mangsa, hari ini sebuah PPS telah diaktifkan di Dewan Kg Bauto,” katanya.

Untuk rekod, antara daerah yang masih terkesan ialah Pitas (1,152 mangsa), Telupid (95 mangsa), Paitan (86 mangsa) dan Lahad Datu (43 mangsa).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|