Kota Kinabalu: Sebuah lagi rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) berjaya disiap dan diserahkan kepada penduduk kurang berkemampuan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, di sini.
Kali ini giliran seorang asnaf di Kampung Boronuon, Telipok, Lainah @ Laimah Liun menerima sebuah rumah PPRT yang dapat memberi keselesaan kepadanya sekeluarga.
Penyerahan rumah berkenaan disempurnakan sendiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Yakub Khan pada majlis ringkas di kediaman baharu Lainah itu, hari ini.
Yakub yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, berkata usaha membantu rakyat di kawasannya akan diteruskan bagi memastikan tiada golongan asnaf yang tercicir.
“Kita akan terus berusaha untuk membantu penduduk Karambunai yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan kediaman yang mereka idamkan,” katanya.
Beliau turut menyatakan harapan agar kerajaan Pusat dan negeri dapat menambah peruntukan bagi membolehkan lebih ramai rakyat tidak berkemampuan dibantu memiliki rumah sendiri yang lebih selesa melalui program PPRT.
-Deasoka