WARISAN jawab isu ‘Trojan Horse’ dilempar DAP

WARISAN jawab isu ‘Trojan Horse’ dilempar DAP

Kota Kinabalu: Parti Warisan (WARISAN) menempelak DAP Sabah berhubung kenyataan pengerusinya, Datuk Frankie Poon semalam yang mengatakan WARISAN adalah ‘Trojan Horse’ untuk memecahkan undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung WARISAN, Datuk Loretto Padua, berkata beliau kagum melihat kepantasan ditunjukkan Frankie kerana dalam jangka masa kurang 12 jam keluar dengan kenyataan mempertahankan Lim Guan Eng yang berada beribu kilometer dari Sabah.

Beliau berkata, rakyat Sabah sudah maklum bahawa WARISAN ialah ancaman utama bukan hanya kepada UMNO/BN tetapi juga kepada Bersatu/ Perikatan Nasional (PN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH).

Disebabkan itu, katanya pelbagai tekanan politik dikenakan terhadap Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sejak parti itu ditubuhkan pada 2016 sehinggalah ke hari ini seperti yang diakui sendiri oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam kenyataannya di Sandakan, semalam.

Jelasnya, apabila Langkah Sheraton terjadi, Shafie dan WARISAN tidak bersekongkol sama ada dengan UMNO atau Bersatu.

“Walaupun beliau cuba disogok dengan jawatan yang cukup penting oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang menjadi Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Shafie kekal dengan prinsip dan integritinya demi memastikan kredibiliti WARISAN terjamin.

“Ini cukup berbeza dengan pemimpin PH seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng yang sanggup membelakangi prinsip demokrasi pilihan raya serta penyokong PH yang telah berarak di jalan raya ketika demonstrasi Bersih apabila mereka menandatangi MoU dengan Kerajaan Ismail Sabri atas alasan-alasan untuk mengekalkan kestabilan politik, reformasi dan membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Walaupun WARISAN telah berulang kali mengingatkan bahawa MoU tersebut tidak perlu kerana blok pembangkang boleh melaksanakan tugas mereka dengan sempurna,” katanya.

Loretto berkata, kesan keangkuhan pemimpin PH sendiri yang tidak mahu mendengar nasihat Shafie yang amat faham dengan kelicikan dan permainan pemimpin UMNO Malaya, maka kestabilan politik yang dicanangkan PH tidak menjadi malah menjadi lebih teruk lagi sehinggakan UMNO yang kembali berkuasa kini memaksa agar pilihan raya diadakan ketika musim monsun.

Lebih teruk lagi, katanya ADUN PH Sabah yang telah diberi peluang oleh Shafie untuk berbakti kepada rakyat Sabah sebagai ahli-ahli Kabinet sebelum ini beria-ia pula menandatangani MoU dengan Kerajaan GRS pimpinan Bersatu dan UMNO yang menjadi dalang cubaan menggulingkan Kerajaan WARISAN Plus dahulu.

“Dimanakah maruah dan kredibiliti PH serta siapakah Trojan Horse yang sebenarnya disini?

“Berhubung dengan 21 Isu MA63 yang Frankie katakan itu, sedarkah dia bahawa isu-isu ini sebenarnya merupakan inisiatif dan usaha gigih bekas Pengerusi Tetap WARISAN, mendiang Datuk VK Liew yang mana 17 daripada 21 isu itu telah dipersetujui manakala baki empat pula tertunda kerana Menteri Kewangan pada masa itu, Lim Guan Eng berdolak-dalih mengenainya.

“Bukankah Lim Guan Eng sendiri yang telah mengumumkan kepada rakyat Sabah ketika Kongres DAP Sabah bahawa royalti minyak 20 peratus yang telah dijanjikan oleh PH dan pemberian hak cukai 40 peratus Sabah tidak dapat dilaksanakan walhal perkara ini amat diperlukan oleh Datuk Seri Shafie ketika itu untuk membasmi kemiskinan dan kemunduran yang begitu teruk sekali di Sabah.

“Dalam hal ini, bukankah yang menanggung beban kemarahan rakyat Sabah kerana janjji-janji PH tidak ditunaikan ialah Datuk Seri Shafie walaupun WARISAN bukannya komponen dalam PH? Sudah pastinya Lim Guan Eng yang tidak pernah memahami dan merasai kepayahan serta kemiskinan rakyat Sabah akan menepuk dan mengusap kepala Frankie yang begitu pantas mempertahankan ‘bosnya’” katanya.

Loretto berkata, WARISAN tidak akan berkompromi terhadap perkara yang berkaitan dengan kredibiliti parti itu.

“Sebagai Setiausaha Agung WARISAN, saya minta Lim Guan Eng untuk tidak berselindung dan berhenti mempergunakan orang Sabah untuk menjawab isu-isu yang dibangkitkan pemimpin-pemimpin Sabah yang lain,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|