3 daerah perlu reka bentuk bangunan tahan gempa bumi

3 daerah perlu reka bentuk bangunan tahan gempa bumi

Kota Kinabalu: Daerah Ranau, Lahad Datu dan Kunak dikenal pasti memerlukan reka bentuk bangunan yang boleh bertahan terhadap gegaran berikutan kedudukannya di zon merah gempa bumi di negeri ini.

Felo Penyelidik Utama Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Noor Sheena Herayani Harith menekankan reka bentuk bangunan untuk gempa bumi perlu dilaksanakan di daerah terbabit.

Peta Bahaya Seismik Sabah yang dikeluarkan dalam Malaysian Standard MS En 1998-1: 2015 National Annex: 2017.

“Pendedahan mengenai rekabentuk bangunan yang sesuai dalam kawasan panas (hot-spot) gempa bumi ini bagi mengelak kemalangan jiwa, selain menerapkan latihan kesiapsiagaan terhadap bencana itu kepada orang awam.

“Gempa bumi itu sendiri tidak berbahaya, namun runtuhan struktur bangunan yang akan memberi impak dan mengancam keselamatan serta nyawa manusia,” katanya.

Pengarah APM Sabah, PPj (PA) Mohtar Samat (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Noor Sheena (kanan).

Beliau yang juga Ketua Kumpulan Gempa Bumi NDRC berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Program Pemantapan Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri Sabah (JPBN) 2022, di sini, baru-baru ini.

Ceramah bertajuk ‘Sains Gempa Bumi di Malaysia: Status dan Cabaran’ dianjurkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah.

Seramai 40 Pegawai APM yang menjadi Sekretariat JPBN dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) di negeri ini, hadir pada program itu.

Noor Sheena yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan UMS turut berkongsi Peta Bahaya Seismik untuk Malaysia, iaitu sebuah peta berdasarkan nilai Peak Ground Acceleration (PGA) dalam Malaysian Standard MS En 1998-1: 2015 National Annex 2017 oleh Jabatan Standard Malaysia.

“Peta Bahaya Seismik ini adalah hasil daripada kajian bersama pakar-pakar dari beberapa jabatan, agensi swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan universiti-universiti di Malaysia yang salah satunya adalah pakar penyelidik dalam bidang gempa bumi dari NDRC, UMS sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengarah NDRC UMS, Prof Madya Dr Carolyn Melissa Payus, berkata penyelidikan berkaitan tingkah laku dan mitigasi gempa bumi adalah antara fokus penyelidikan di NDRC selain bencana alam lain seperti tsunami, tanah runtuh, banjir, perubahan iklim, kemarau, hakisan pantai dan sungai.

Katanya, NDRC yang ditubuhkan pada 2006, bertindak sebagai tempat pertemuan (focal point) untuk semua penyelidikan di UMS berkaitan dengan bencana alam.

“Penglibatan NDRC dalam ceramah seumpama ini diharap dapat memberikan input berguna dalam kesiapsiagaan awal kepada Sekretariat JPBN dan JPBD, APM Sabah serta memberikan peluang kepada pakar-pakar penyelidik untuk berkongsi hasil penyelidikan mereka kepada pemegang taruh dalam pengurusan bencana alam di Malaysia.

“Ia selaras dengan objektif penubuhan NDRC ini sendiri iaitu untuk menjana ilmu baharu berkaitan dengan tingkah laku, mekanisme, impak dan mitigasi bencana alam ke arah pengurusan bencana alam yang lebih berkesan dan holistik di negara ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|