Mangsa culik pulang ke pangkuan keluarga

Mangsa culik pulang ke pangkuan keluarga

Kota Bharu: Selepas 21 hari diculik dan dilarikan ke Thailand, wanita ejen jualan produk kosmetik berusia 36 tahun akhirnya bertemu ahli keluarganya di Jalan Kelochor, hari ini.

Suasana sebak dapat dilihat di perkarangan rumah ibu bapa mentuanya sebaik Rosnazirah Mohd Naim, muncul dengan diiringi Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun bersama pegawai dan anggota.

Rosnazirah bersama ahli keluarga memanjatkan doa selepas diselamatkan daripada diculik sekumpulan lelaki. Pix Facebook Bernama.

Hanya air mata yang mampu menjawab segala derita dan ketakutan apabila diculik di hadapannya rumahnya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, 13 September lalu.

Tanpa berselindung, ibu bapa mangsa juga kelihatan mendakap erat wanita terbabit sambil diiringi tangisan selain memanjatkan kesyukuran apabila berjaya diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain dibantu pihak berkuasa Thailand.

Terdahulu media melaporkan, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata melalui kerjasama erat PDRM dan Polis Diraja Thailand serta perkongsian maklumat dan perisikan berjaya mengenalpasti lokasi keberadaan wanita itu di negara jiran berkenaan.

“Mangsa kemudiannya berjaya ditemui dan diselamatkan sebelum dibawa pulang ke tanah air.

“Dalam kes ini juga seramai tujuh lelaki tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961,” katanya dalam satu kenyataan.

Acryl Sani berkata, pihaknya juga turut merampas sebuah kenderaan yang digunakan untuk melarikan mangsa dari kediamannya.

“PDRM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Polis Diraja Thailand dan Kedutaan Besar Malaysia di sana atas kerjasama dan bantuan dalam usaha yang dilaksanakan bagi membantu menyelamatkan mangsa.

“PDRM juga meminta kepada masyarakat supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian yang menyalahi undang-undang dalam usaha membanteras kegiatan jenayah dan memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|