SEMPORNA: Isu pengusaha resort atas air yang beroperasi tanpa lesen sah di perairan Semporna kini mendapat perhatian Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (KKTP).
Menterinya, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kementerian serta agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian terbaik tanpa menjejaskan perkembangan sektor pelancongan di daerah itu.
Menurut beliau, isu pelesenan resort dan premis pelancongan melibatkan beberapa agensi termasuk pihak berkuasa tempatan, kementerian pelancongan dan agensi penguatkuasaan.
Katanya, kerajaan negeri sudah menerima senarai pengusaha yang terlibat dan akan mengadakan perbincangan lanjut termasuk membantu mereka mendapatkan lesen sah.
“Mana yang boleh kita carikan jalan terbaik untuk mereka, kita akan bantu dan ada juga beberapa yang kita ambil tindakan undang-undang,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan tindakan penguatkuasaan tetap diteruskan terhadap premis yang gagal mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan.
Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin dilaporkan berkata tujuh daripada 80 resort di perairan Semporna dikompaun dan diarahkan tutup sementara kerana pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki permit sah.
Dalam operasi bersepadu dijalankan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, polis serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), beberapa pekerja resort turut ditahan kerana tidak mempunyai dokumen sah.
Kerajaan negeri turut memaklumkan tindakan lebih tegas termasuk perobohan struktur binaan boleh diambil sekiranya pengusaha gagal mematuhi undang-undang dan syarat pelesenan ditetapkan.
Datuk Dr Mohd Arifin berkata demikian ketika ditemui sempena Jelajah Aspirasi Menteri Tahun 2026 di Semporna, pada Khamis.
