Warga emas maut dirempuh kenderaan ketika melintas jalan

Warga emas maut dirempuh kenderaan ketika melintas jalan

Tawau: Seorang lelaki warga emas maut selepas dirempuh kenderaan jenis pacuan empat roda ketika melintas jalan di Batu 14, Jalan Apas, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa berusia 68 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tawau, Assisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.03 petang.

Katanya, hasil siasatan awal, pemandu pacuan empat roda berusia 56 tahun itu memandu dari arah Semporna menuju bandar Tawau.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa tiba-tiba muncul dari celahan pokok sebelah kanan dan terus melintas ke kiri jalan.

“Pemandu pacuan empat roda berkenaan kemudian cuba mengelak, namun tidak sempat akibat jarak terlalu dekat lalu melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan raya dan mengalami parah.

“Lelaki terbabit disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan, manakala pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Besar Tawau untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|