Sabah lepasi rintangan pertama ambil alih kuasa pembekalan elektrik

Sabah lepasi rintangan pertama ambil alih kuasa pembekalan elektrik

Kota Kinabalu: Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2022 dan RUU Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat semalam akan membuka jalan untuk mendapatkan semula kuasa autonomi pembekalan elektrik kepada kerajaan Sabah.

Sambil mengalu-alukan perkembangan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kedua-dua RUU itu dibentangkan berikutan mesyuarat yang dimulakan oleh beliau sendiri dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Putrajaya pada Ogos lalu.

Menurutnya, ia bertujuan untuk menetapkan pelan untuk membolehkan Sabah mengawal bekalan elektrik dan gas sendiri, serta mengambil alih kuasa syarikat utiliti tenaga, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

“Rancangan kini dilakukan dan ia termasuk penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah, agar pihak berkuasa pengawalseliaan bekalan elektrik dapat dipindahkan daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Di Sabah, kerajaan negeri dijangkakan akan membentangkan RUU Enakmen Bekalan Elektrik, RUU Enakmen Tenaga Boleh Baharu dan RUU Enakmen Suruhanjaya Tenaga pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), November depan.

Susulan itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri dijangka akan mengambil alih SESB dengan sifar lialibiliti, sebaik sahaja Pelan Transfromasi SESB diselesaikan dalam tempoh lima hingga tujuh tahun dari sekarang.

“Kerajaan negeri sedang bertungkus-lumus dalam memastikan peralihan berjalan lancar dan semuanya akan berlaku seperti yang dirancangkan,” katanya.

Semalam, persidangan Parlimen telah meluluskan dua RUU dengan undian majoriti selepas ia dibacakan buat kali kedua.

Ketika membentangkan RUU itu, Takiyuddin berkata, ia sebagai persediaan untuk peralihan kuasa autonomi bekalan elektrik kepada kerajaan negeri Sabah.

Beliau juga berkata, pindaan kepada Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 (Akta 725) dan Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 (Akta 726) adalah sejajar dengan komitmen kerajaan untuk mengkaji pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), berkaitan hak dan kuasa autonomi yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak.

Pindaan kepada kedua-dua akta termasuk sub seksyen baharu yang memberikan menteri kuasa untuk menggantung sepenuhnya atau mana-mana peruntukan dua akta itu di bahagian berlainan di Malaysia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|