PN tolak PRU-15 tahun ini

PN tolak PRU-15 tahun ini

Kuala Lumpur: Semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) diminta mengambil pendirian bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak wajar diadakan pada tahun ini.

Perkara itu disuarakan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, faktor utama penolakan PN disebabkan Monsun Timur Laut yang akan bermula tidak lama lagi selain menjangkakan banjir bakal melanda negara terutama di negeri pantai timur Semenanjung.

“Mengadakan pilihan raya semasa musim banjir tentunya akan menjejaskan perjalanan pilihan raya selain menyusahkan rakyat.

“Kerajaan mesti memberi fokus kepada persiapan menghadapi musim banjir di samping terus memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan proses pemulihan negara pasca pandemik,” katanya.

Menurut Muhyiddin, rakyat sedang terbeban dengan masalah inflasi, kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit di samping proses pemulihan negara yang masih perlahan.

“Penyelesaian kepada permasalahan ini mesti diberi tumpuan sepenuhnya oleh kerajaan terutama menerusi Bajet 2023.

“Anggota Jemaah Menteri daripada PN diminta mempertegaskan pendirian ini di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri,” jelasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|