Polis Tawau tahan 28 individu terbabit pelbagai jenayah

Polis Tawau tahan 28 individu terbabit pelbagai jenayah

Tawau: Polis Tawau menahan seramai 28 individu selepas didapati terbabit dalam pelbagai jenayah menerusi Operasi Bersepadu Mencegah Jenayah (OBMJ) di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Assisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, operasi dijalankan selama empat hari itu membabitkan anggota dan pegawai pelbagai cawangan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Antara individu yang ditahan dalam OBMJ di Tawau.

Katanya, dalam operasi itu turut dirampas dadah jenis syabu, rokok seludup dan peralatan perjudian termasuk wang tunai.

“Objektif utama OBMJ dilaksanakan kerana ia adalah salah satu tindakan agresif IPD Tawau untuk mengurangkan kadar jenayah di daerah ini.

“Melalui pendekatan sebegini dan rondaan yang dilakukan dilihat dapat meningkatkan tahap keselamatan di kawasan perumahan serta bandar Tawau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua suspek yang ditangkap dan barang rampasan tersebut dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Jasmin berkata, polis juga mahu menangkis ‘Fear Of Crime’ ataupun ketakutan dalam jenayah dalam kalangan masyarakat di daerah ini.

“Kita mahu memastikan semua masyarakat berasa selamat melakukan sebarang aktiviti di dalam dan luar rumah melalui kehadiran pasukan polis di sekitar mereka.

“Operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan fokus utama iaitu dadah dan jenayah dihapuskan di daerah ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|