626 ‘hotspot’ banjir dikenal pasti

626 ‘hotspot’ banjir dikenal pasti

Kota Kinabalu: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Monsun Timur Laut (MTL) Sabah, sudah mengenalpasti 626 kawasan ‘hotspot’ daripada 29 daerah berpotensi dilanda banjir, di seluruh negeri ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, setakat ini, seramai lebih 3,000 keanggotaan dari 24 agensi sudah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia.

Jauteh ketika sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Menghadapi Bencana Banjir Peringkat Negeri Sabah.

Katanya, antara agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Kebajikan, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Begitu juga dengan sebanyak 1,401 aset dari pelbagai agensi yang turut diletakkan dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi bencana MTL.

“Menerusi persediaan awal ini, kita yakin akan mampu melakukan yang terbaik dalam membantu mangsa-mangsa sekiranya berlaku bencana banjir akibat monsun berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Menghadapi Bencana Banjir Peringkat Negeri Sabah, di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Jauteh berkata, jawatankuasa ini juga susah bersiap sedia untuk membuka 345 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang mampu menempatkan keseluruhan 131,330 mangsa.

Katanya, antara daerah yang diberikan keutamaan adalah Beluran, Kinabatangan, Pitas dan Beaufort berikutan dikenalpasti sebagai daerah paling kerap dilanda banjir.

Sehubungan itu, Jauteh menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga keselamatan dan mematuhi arahan yang diberikan ketika bencana.

Katanya, ketidakpatuhan boleh menyebabkan kemudaratan bukan saja kepada diri sendiri tetapi juga orang lain termasuk pasukan penyelamat.

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan persediaan sekiranya perlu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sepanjang tempoh ini, Jauteh berkata, perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Katanya, pihak PDRM sudah bersedia dari aspek keanggotaan dan aset untuk berdepan sebarang kemungkinan.

“Kita akan pastikan tiada sebarang masalah atau kekangan dari segi logistik dan keanggotaan bagi menghadapi kemungkinan PRU pada musim banjir,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|