PPM bakal terima 5 bot baharu bernilai RM100 juta

PPM bakal terima 5 bot baharu bernilai RM100 juta

Batu Uban: Pasukan Polis Marin (PPM) bakal menerima lima bot baru bernilai keseluruhan RM100 juta bertujuan memperkasakan tugas rondaan dan cegah jenayah di seluruh perairan negara.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani ketika Sambutan Peringatan Hari Polis Marin Ke-75 di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, di sini, hari ini.

“Setakat ini kita dalam usaha pembaikan beberapa fasiliti kemudahan Polis Marin di Kelantan dan di Pulau Mabul, Semporna.

“Kerajaan juga sudah meluluskan perolehan bot-bot baru sebanyak lima buah jenis RH dengan nilai keseluruhan berjumlah RM100 juta,” katanya.

Acryl Sani berkata, PDRM juga berusaha mendapatkan peruntukan penggantian enjin bot yang baharu bagi tujuan rondaan dan penguatkusaan undang-undang di perairan negara ini.

“PDRM sentiasa berusaha mempertingkat, memperkemas dan memperkasakan semua aset Polis Marin dari semasa ke semasa.

“Begitu juga pusat latihan termasuk di Johor Bahru yang akan ditambahkan baik,” katanya.

Menurutnya, perkara itu akan diputuskan melalui kajian dan cadangan daripada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM.

Terdahulu, PPM kini memiliki 2,500 pegawai dan anggota yang ditempatkan di seluruh negara dengan majoriti berada di Wilayah Empat di Sabah bagi mengawal kegiatan jenayah rentas sempadan di negeri terbabit.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|