Operasi pencarian hari keempat, masih diteruskan

Operasi pencarian hari keempat, masih diteruskan

Sipitang: Operasi hari keempat pencarian warga emas yang dikhuatiri hilang ketika pergi ke kebunnya di Kampung Ulu, di sini, sejak Sabtu lalu masih diteruskan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi pencarian yang dijalankan hari ini terbahagi kepada empat kumpulan.

Usaha mencari mangsa dikhuatiri hilang diteruskan hari ini.

Katanya, kumpulan-kumpulan ini menjalankan operasi bermula dari Pos Kawalan Bomba hingga ke ladang-ladang kelapa sawit.

“Radius pencarian seluas lapan kilometer dari lokasi Pos Kawalan Bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan bomba bersama penduduk kampung menjalankan pencarian di ladang kelapa sawit.

Menurutnya, setakat jam 1.30 tengah hari, mangsa masih belum ditemui dan operasi pencarian diteruskan.

“Sebarang maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Operasi pencarian dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk kampung.

Dalam kejadian Sabtu lalu, lelaki warga emas Asmad Bulat, 81, dikhuatiri hilang selepas keluar seorang diri untuk ke kebun getah dan buah-buahan miliknya.

Susulan itu, anak mangsa bersama penduduk kampung melakukan pencarian di kawasan berhampiran namun gagal menemui mangsa sebelum laporan polis dibuat bagi membantu mencari mangsa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|