Warga emas ditahan disyaki edar dadah

Warga emas ditahan disyaki edar dadah

Tawau: Di usia semakin ‘senja’, sepatutnya sudah berehat di rumah dan beribadat tetapi sebaliknya menjadi ‘pusher’ dadah.

Kegiatan lelaki warga emas berusia 63 tahun itu terbongkar selepas ditahan polis bersama 32 peket plastik disyaki dadah jenis syabu dalam serbuan di kawasan Wakuba, di sini, semalam.

Suspek ditahan bersama dadah jenis syabu dalam serbuan di kawasan Wakuba, Tawau.

Ketua polis Daerah Tawau, Assisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sepasukan polis yang diketuai Asisten Superintendan Asran Julkarnain membuat serbuan di kawasan Wakuba melalui maklumat yang diterima daripada orang awam berkaitan aktiviti dadah.

“Serbuan dijalankan di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan Wakuba dan menahan seorang lelaki warga emas kerana disyaki terbabit dalam aktiviti dadah.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu menemui 32 peket plastik yang mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 1.86 gram,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, suspek dan barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Sementara itu, Jasmin berkata, pihaknya kini semakin giat menjalankan serbuan di kawasan-kawasan yang dikenalpasti sebagai tempat penagihan.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar orang awan bekerjasama dengan polis dalam membantu menyalurkan sebarang maklumat tidak kira apa juga kesalahan jenayah yang berlaku.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|