Murid tahun lima maut dihempap palang gol

Murid tahun lima maut dihempap palang gol

Kota Kinabalu: Seorang murid tahun lima maut selepas dihempap palang gol ketika aktiviti sukan di Pekan Manggatal, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari itu, mangsa yang berusia 11 tahun terbabit disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Likas, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, hasil siasatan awal, mangsa adalah salah seorang murid di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Lok Yuk, Manggatal.

Katanya, mangsa dipercayai dihempap besi palang gol ketika berlangsungnya aktiviti sukan tahunan sekolah di padang berkenaan.

“Kejadian disedari oleh bapa mangsa dan juga guru sekolah yang bertindak menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan segera.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang kesan berlakunya sebarang unsur-unsur perbuatan jenayah.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Sementara itu, kejadian yang meragut nyawa kanak-kanak terbabit tular di media sosial sejak petang semalam.

Rakaman berdurasi 14 saat itu memaparkan kanak-kanak terbabit diangkat menggunakan pengusung oleh pasukan perubatan yang hadir membantu di lokasi kejadian.

Berdasarkan pengamatan pada video berkenaan, besi palang pada gol berkenaan dipercayai patah sebelum menghempap mangsa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|