Sabah sasar 40 pingat emas dalam Para SUKMA Edisi ke-20

Sabah sasar 40 pingat emas dalam Para SUKMA Edisi ke-20

Putatan: Sabah berhasrat untuk membawa pulang 40 pingat emas pada temasya Para SUKMA edisi Ke-20 2022 yang akan diadakan di Kuala Lumpur bermula 1 hingga 6 November depan.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata, kontinjen Sabah diharapkan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen, berjuang sepenuh tenaga dan dengan disiplin yang tinggi.

Ellron (tengah) pada Majlis Penyerahan Bendera Negeri Sabah kepada Kontinjen Para SUKMA edisi ke-20, di Kompleks JBSS, Putatan.

Menurutnya, daripada 10 jenis sukan yang dipertandingkan iaitu tujuh sukan wajib dan tiga sukan pilihan, kontinjen Para Sabah akan menyertai enam jenis sukan wajib dan kesemua sukan pilihan.

“Saya yakin kesemua 109 orang atlet yang berada di hadapan saya ini telah melakukan persediaan terbaik dan rapi.

Jacklon Gandang

“Sukan-sukan wajib yang akan disertai ialah badminton, memanah, ping pong, renang, olahraga dan powerlifting. Manakala, sukan pilihan yang disertai ialah catur, tenpin boling dan boling padang.

“Kontinjen Para Sabah kali ini akan diiringi oleh seramai 49 pegawai dan jurulatih,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Penyerahan Bendera Negeri Sabah kepada Kontinjen Para SUKMA edisi ke-20, di Kompleks JBSS,di sini, hari ini.

Abdul Khamis

Dalam pada itu, beliau berkata, 30 peratus bakat baharu yang julung kalinya mewakili negeri ke temasya ini memiliki kualiti prestasi yang setanding dengan atlet-atlet yang telah mewakili Sabah sebelum ini.

“Ini bukan sahaja menunjukkan bahawa KBS Sabah melalui Majlis Sukan Negeri Sabah sentiasa memandang serius pembangunan atlet Para terutama sekali dalam mencari bakat-bakat baharu, tetapi penawaran latihan untuk atlet-atlet PARA ini juga bersistematik.

“Sama seperti mana yang ditawarkan untuk atlet-atlet `able. Di mata Kementerian saya, semua atlet ini sama, tiada perbezaan darjat,” katanya.

Terdahulu, pada temasya Para SUKMA Ke-19, di Perak, Kontinjen Sabah telah berjaya membawa pulang 36 pingat emas, 28 pingat perak dan 30 pingat gangsa dan muncul selaku naib johan keseluruhan.

Sementara itu, salah seorang wakil kontinjen Sabah, Jacklon Gandang, 23, berkata beliau akan bertanding dalam sukan olahraga.

Katanya, beliau yakin segala penat lelah dalam membuat persiapan akan mampu membuahkan hasil yang menggembirakan.

“Saya yakin kita mampu mencapai sasaran pingat itu, kerana kita sudah membuat persiapan dan latihan dalam setahun ini,” katanya.

Salah seorang lagi wakil atlet yang ditemui, Abdul Khamis Laharusu, 39, berkata beliau akan mengambil bahagian dalam acara angkat berat.

Menurutnya, melihat kesungguhan dan semangat juang rakan-rakannya menjadi pembakar semangatnya untuk meneruskan perjuangan.

“Biarpun kami orang kurang upaya (OKU), namun kami berusaha dari kampung untuk datang sini dan menjalani latihan bagi mengharumkan nama Sabah,” tegasnya.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap KBS Sabah, Datuk Mansur Asun; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Sabah (JBSS), Apui Jan; Pengerusi Lembaga Sukan Sabah, Osman Aganduk; Timbalan Setiausaha Tetap KBSS, Putera Jali.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|