PRU-15: Pelbagaikan kelayakan undi awal, undi pos, termasuk mahasiswa

PRU-15: Pelbagaikan kelayakan undi awal, undi pos, termasuk mahasiswa

Kota Kinabalu: Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) diminta agar menimbangkan kelayakan undi awal atau undi pos kepada mahasiswa yang sedang belajar di unversiti bagi memberikan hak serta peluang mereka memilih pada pilihan raya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata hak golongan mahasiswa tidak boleh dipinggirkan selepas Undi18 dikuatkuasakan melalui pendaftaran secara automatik sejak 15 Disember tahun lalu.

Bung Moktar

“Kita sedia maklum penuntut unversiti termasuk dalam kelompok pengundi 18 tahun yang kini sedang menuntut dan sebahagiannya baru sahaja mendaftarkan diri bagi memulakan sesi pengajian di unversiti seluruh negara.

“Justeru, kumpulan ini perlu diberikan kelonggaran membuang undi awal atau undi pos supaya hak mereka sebagai pemilih tidak terabai,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Azman Mastar dan kakitangan SAFA, di sini, semalam.

Datuk Dr Fadilah Sabri

Pertemuaan itu bagi membincangkan pelancaran Akademi SAFA di seluruh Sabah dan pecah tanah tapak SAFA Kinabatangan.

Menurut Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah, pelajar di unversiti sudah tentu mengalami kekangan untuk keluar mengundi kerana tinggal jauh dari tempat kelahiran yang melibatkan kos tinggi untuk balik ke kawasan masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.

Katanya, pihak SPR perlu memikirkan penyelesaian termasuk mengkategorikan pelajar sebagai pengundi awal dengan memberikan ruang untuk mereka menunaikan tanggungjawab tanpa menjejaskan pembelajaran mereka.

Bung Moktar yang juga penyandang Parlimen Kinabatangan berkata, pelaksanaan undi pos atau undi awal bagi mahasiswa yang berumur 18 tahun ke atas perlu mengambil kira pelbagai aspek, termasuk prosedur dan tatacara memandangkan jumlah pelajar IPT di Malaysia mencecah lebih 500,000 orang.

“Ini tanggungjawab SPR untuk memastikan pengundi muda diberikan ruang dan keselesaan untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih bagi menentukan masa depan negara sekali gus menggalakkan peratusan keluar mengundi yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, ketika menyokong saranan itu, Ketua Puteri UMNO Sabah, Datuk Dr Fadilah Sabri berkata, SPR perlu menimbang cadangan yang disuarakan pelbagai pihak dalam memastikan proses demokrasi berjalan lancar dan mencapai maksudnya.

“Ini tanggungjawab SPR untuk memastikan rakyat di negeri ini boleh menjalankan hak mereka keluar mengundi, khususnya mereka yang pertama kali mengundi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|