Hajiji ucap takziah atas pemergian Allahyarham Samsudin

Hajiji ucap takziah atas pemergian Allahyarham Samsudin

Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Allahyarham Datuk Samsudin Yahya, yang meninggal dunia petang semalam.

Hajiji turut berharap agar seluruh ahli keluarga Allahyarham tabah menghadapi ujian itu.

“Bagi pihak keluarga saya dan kerajaan negeri, saya mengucapkan takziah kepada Datin Junaidah Aji dan keluarga atas kehilangan Allahyarham yang tersayang.

“Datuk Samsudin adalah pemimpin yang berdedikasi dan juga kawan baik serta telah banyak menyumbang kepada negeri dan negara serta rakyat di kawasannya sepanjang karier politiknya.

“Marilah kita sama-sama panjatkan doa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya dalam satu kenyataannya di sini, hari ini.

Samsudin, 67, yang pernah menjadi ADUN Sekong selama empat penggal sejak 2004, difahamkan tidak sedarkan diri ketika dalam penerbangan ke Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur, sebelum disahkan meninggal dunia petang semalam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|