UMNO Sabah akan kemuka calon pilihan rakyat

UMNO Sabah akan kemuka calon pilihan rakyat

Kota Kinabalu: UMNO Sabah akan mengemukan calon yang dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan datang.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, parti harus meletakkan calon yang dikehendaki rakyat dan bukan pilihan parti saja.

“Siapa yang rakyat mahu, kita bagi. Sudah banyak kali saya katakan kita tidak boleh ‘syok sendiri’, letakkan calon mengikut kehendak parti.

“Tetapi kita kena letakkan calon yang rakyat mahukan, itu cara yang betul iaitu calon yang boleh menang,” katanya ketika ditemui media di bangunan UMNO, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung calon yang akan dikemukakan dalam PRU-15.

Beliau dalam pada itu berkata, UMNO kini sedang mempersiapkan jentera parti untuk menghadapi PRU-15 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

“Ini jelas apabila Perhimpunan Agung UMNO (PAU) rata-rata perwakilan minta supaya PRU diadakan untuk memastikan kestabilan negara, kestabilan politik demi memantapkan ekonomi negara dan juga kembalikan kuasa kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai maklum balas UMNO Sabah berhubung kesediaan Parti Warisan (WARISAN) untuk bekerjasama dengan mana parti, Bung Moktar berkata, pihaknya juga terbuka namun perlunya perbincangan dengan GRS.

Beliau menyifatkan politik dinamik dan tiada yang mustahil tetapi ia perlu dilakukan dengan betul kerana rakyat sentiasa menilai.

“Sebenarnya, tiada yang rasmi tetapi menurut Shafie (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) dia tidak kisah berbincang dengan sesiapa pun.

“Saya setuju dengan itu sebab politik ini hidup dan semua pun kita boleh, kalau kita tutup pintu itu bukan politik. Kita pun terbuka tetapi keutamaan kita bincang dengan GRS,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|