Bung Moktar cadang GRS-BN

Bung Moktar cadang GRS-BN

Kota Kinabalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin akan mengemukakan cadangan supaya kerajaan Sabah dikenali sebagai kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional (BN).

Timbalan Ketua Menteri itu berkata, BN juga adalah sebahagian daripada kerajaan yang ditubuhkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

Bung Moktar menyaksikan penyampaian kurma kepada wakil UMNO Bahagian Sabah di bangunan UMNO, Kota Kinabalu.

“Baru-baru ini, Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) mengumumkan penubuhan GRS daripada empat parti dan bermakna sudah ada struktur perubahan dalam kerajaan di mana dulu dikenali sebagai GRS.

“Sekarang kita minta dinamankan kerajaan GRS-BN sebab tidak adil pula BN tidak disebut dalam kerajaan ini sebab kita sebahagian daripada kerajaan,” katanya selepas hadir pada majlis menyampaikan kurma kepada UMNO Bahagian, di bangunan UMNO, di sini, hari ini.

Diminta menjelaskan ketiadaan BN dalam GRS, Bung Moktar berkata, parti itu tidak berada dalam GRS kerana tidak boleh berada lebih daripada satu gabungan.

“Kita dalam gabungan BN tidak boleh ada dalam gabungan lain, tak kan satu parti bergabung dengan dua gabungan, itu sudah tidak releven, sebab itu kita tidak masuk.

“Bagaimanapun, perkara ini sudah dimaklumkan sebelum pengumuman dibuat,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar berkata, litik suasana politik di negeri berubah berikutan keadaan semasa politik di peringkat Pusat.

“Dalam konteks UMNO Sabah, sudah tentu orang melihat Sabah sebagai negeri yang agak kritikal sebab kita mendukung bersama-sama parti tidak sehaluan dengan UMNO di Pusat iaitu UMNO-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Pusat.

“Sudah tentu tidak dapat bekerjasama dengan apa cara sekali pun dan di Sabah kita ada GRS,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|