Maritim Malaysia tahan 9 individu, tidak mempunyai lesen bagang

Maritim Malaysia tahan 9 individu, tidak mempunyai lesen bagang

Kudat: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sembilan individu warga tempatan dalam operasi di lima peranti menangkap ikan atau bagang ikan bilis di perairan Tanjung Limau-Limauan, di sini, semalam.

Operasi Op Pluto Timur/Op Cegah PATI itu bermula jam 10 hingga 12 tengah malam itu, sebuah bot ronda Zon Maritim Kudat, diatur gerak bagi membuat pemantauan serta pemeriksaan ke atas bagang-bagang ikan bilis yang terdapat di sekitar perairan berkenaan.

Individu yang ditahan kerana tidak membawa kad pengenalan ketika diperiksa anggota Maritim Malaysia Kudat dalam Op Pluto Timur/Op Cegah PATI di perairan Tanjung Limau-Limauan, Kudat.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, sebanyak lima bagang diperiksa di lokasi 0.2 hingga 0.5 batu nautika timur Tanjung Limau-Limauan.

Katanya, hasil daripada pemeriksaan itu, sembilan individu warga tempatan berusia lingkungan 19 hingga 35 tahun ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri.

“Pemeriksaan juga mendapati semua bagang yang diperiksa dipercayai tidak mempunyai lesen bagang.

“Semua yang ditahan dibawa ke Jeti Marina Kudat dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Boon Chin, kes disiasat mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana tidak membawa kad pengenalan ketika diperiksa serta Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai lesen bagang.

Katanya, salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia melalui Pusat Operasi Kudat di talian 088-611858 dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|