Aksi polis, pukau penonton Sempena Sambutan Hari Polis ke-215 IPD Kota Kinabalu

Aksi polis, pukau penonton Sempena Sambutan Hari Polis ke-215 IPD Kota Kinabalu

Kota Kinabalu: Tangkas dan pantas. Itu yang dipamerkan melalui persembahan pegawai dan anggota dari Team Cantas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu melalui babak lakonan menumpaskan ‘Geng Peti Besi’ sempena Sambutan Hari Polis Ke-215 peringkat IPD Kota Kinabalu di Dataran Kinabalu, hari ini.

Keluarga dan jemputan yang menghadiri sambutan hari polis ternyata teruja dengan aksi 15 pegawai dan anggota dalam lakonan menumpaskan Geng Peti Besi berkenaan.

Aksi babak Team Cantas JSJ IPD Kota Kinabalu menumpaskan Geng Peti Besi sempena Sambutan Hari Polis Ke-215 peringkat IPD Kota Kinabalu.

Babak selama 10 minit itu mempamerkan Kepantasan dan Ketangkasan pegawai dan anggota pelbagai elemen termasuk Rapid Team daripada IPD Kota Kinabalu dalam menumpaskan penjenayah Geng Peti Besi yang banyak melakukan jenayah pecah rumah di bandar raya ini.

Persembahan itu bermula dengan aksi kenderaan Unit Kereta Peronda (MPV) mengejar Geng Peti Besi yang menaiki kereta Proton Wira selepas melarikan sebuah peti besi di kawasan Lintas Plaza.

Aksi persembahan Team Cantas JSJ IPD Kota Kinabalu menumpaskan Geng Peti Besi.

Selepas aksi mengejar itu, kereta dinaiki suspek berjaya dipintas sebelum berlaku tembak menembak antara pasukan polis dengan empat anggota Geng Peti Besi hingga semua penjenayah berjaya ditumpaskan.

Acara diteruskan dengan penyerahan Perutusan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl sani Abdullah Sani kepada Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah.

Mohd Zaidi memeriksa pembarisan sempena Sambutan Hari Polis Ke-215 peringkat IPD Kota Kinabalu.

Perutusan yang dibacakan oleh Mohd Zaidi itu menyatakan institusi kepolisan ini akan terus komited dalam mempertahankan keselamatan dan ketenteraman awam negara selari dengan kehendak Akta Polis 1967.

“Seluruh warga PDRM memperbaharui sumpah taat setia kepada Raja dan negara, serta berikrar untuk memastikan keselamatan rakyat serta kedaulatan negara, terus terpelihara sempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215.

Mohd Zaidi menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai polis yang mempamerkan penugasan cemerlang.

“Laksanakanlah tugas secara profesional dan terus memperkasakan integriti demi mempertahankan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dengan mengekalkan tema “Polis dan masyarakat berpisah tiada”,” katanya.

Menurutnya, seluruh warga PDRM sentiasa “sedia berkhidmat” dan berdiri teguh di bawah naungan panji Sang Saka Biru untuk memikul tanggungjawab dan amanah bagi memelihara keselamatan masyarakat dan keamanan negara.

“Segala pengorbanan, jerih perih dan titisan darah pahlawan-pahlawan terdahulu, demi nikmat keamanan yang dikecapi kini, akan terus diperjuangkan dan diwariskan pula kepada generasi pelapis sang saka biru akan datang.

“Dalam usaha memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan pasukan, kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah meluluskan perolehan aset dan peralatan seiring dengan kemajuan teknologi terkini kepolisan moden.

“Kerajaan juga  memperuntukkan dana yang besar untuk kebajikan, keselesaan dan kesejahteraan warga PDRM yang berkhidmat serta seisi keluarga dan para pesara polis,” katanya.

Beliau juga mewakili PDRM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan dan KDN yang amat prihatin akan keperluan PDRM.

Acara diserikan lagi demostrasi penjenayah yang menyerang hendap orang kenamaan (VIP) dan berjaya ditumpaskan oleh pasukan polis wanita dengan mempamerkan keupayaan tempur tanpa senjata serta kemahiran mempertahankan diri yang juga salah satu keperluan bagi wanita dalam PDRM.

Persembahan diteruskan dengan aksi-aksi daripada anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) yang mempamerkan pelbagai kemahiran mengendalikan motosikal berkuasa tinggi.

Kemahiran ini adalah penting dalam menjalankan penugasan yang pelbagai terutama di jalan raya.

Dalam majlis sama, Mohd Zaidi turut menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai kanan serta pegawai rendah polis yang mempamerkan penugasan cemerlang.

Sijil juga diberikan kepada pegawai awam dan orang awam yang banyak memberikan kerjasama kepada pihak polis.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|