RM8.5 juta bantuan mangsa bencana seluruh negara

RM8.5 juta bantuan mangsa bencana seluruh negara

Tawau: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui pelbagai agensinya menyalurkan bantuan lebih RM8.5 juta melibatkan 109,994 penerima mangsa ditimpa musibah termasuk banjir dan kebakaran di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata ia termasuk RM580,000 kepada mangsa kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4 di sini dengan setiap ketua keluarga menerima RM1,000.

Katanya, bantuan itu diagihkan kepada mangsa kebakaran yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampung Kurnia Jaya yang diuruskan Jabatan Kemajuan Malaysia (JAKIM) cawangan Sabah.

“Bantuan pada hari ini adalah sumbangan daripada Tabung Musa’adah Covid-19 JAKIM-Yayasan Waqaf Malaysia bernilai RM116,000, manakala RM464,000 lagi daripada Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan kepada mangsa kebakaran, di sini, hari ini.

Ahmad Marzuk turut meminta JAKIM sebagai penyelaras Skuad Musa’adah Keluarga Malaysia Agensi Agama agar meneruskan program bantuan ke kawasan yang dikenal pasti di seluruh negara.

Beliau berkata, pihaknya turut menyampaikan sumbangan persekolahan 2022 bernilai RM204,000 daripada Yayasan Taqwa MAIWP untuk pelajar di Sabah.

Dalam hal lain, beliau berkata kuota haji bagi Malaysia pada tahun ini mungnin berkurangan berbanding 30,000 yang biasa dibenarkan Arab Saudi sebelum ini.

“Namun kita berdoa agar mendapat kuota penuh seperti biasa, apa saja keputusan daripada Arab Saudi kita terima dan penting kesihatan serta dipermudahkan urusan,” katanya.

Perkara itu katanya akan diumumkan dalam tempoh terdekat kerana ketika ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad dalam lawatan kerja rasmi ke Arab Saudi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|