Siap sedia hadapi sebarang kemungkinan ancaman

Siap sedia hadapi sebarang kemungkinan ancaman

Semporna: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna sudah bersiap bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan pembukaan pintu sempadan negara bermula, 1 April depan.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya sudah membuat persiapan rapi untuk menerima kemasukan ramai pelancong asing.

Katanya, IPD Semporna akan bekerjasama dengan semua agensi penguatkuasa lain khususnya pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi memantau semua kawasan tumpuan pelancong.

“Kita akan pastikan keselamatan daerah Semporna dan sekitar perairannya sentiasa terjaga dan pada tahap yang terbaik.

“Ia bagi memastikan semua pelancong yang datang dalam keadaan selamat dari ancaman luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-215, di sini, hari ini.

Mohd Farhan berkata, IPD Semporna akan membantu dalam usaha mengembalikan kegemilangan daerah ini sebagai destinasi yang menjadi pilihan pelancong dari luar negara.

Sementara itu, Mohd Farhan berkata, sepanjang tempoh tiga bulan pertama tahun ini, IPD Semporna mencatatkan pencapaian yang memuaskan dan berjaya menurunkan kadar jenayah.

“Kadar jenayah di daerah ini menurun berbanding tahun lalu dan banyak kes-kes jenayah yang berlaku dapat diselesaikan dengan cepat.

“Justeru, saya percaya dengan pencapaian dan persediaan pegawai dan anggota IPD Semporna mampu menjaga keselamatan masyarakat dan pelancong di daerah ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Farhan menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua masyarakat, pemimpin, badan bukan kerajaan (NGO), media dan syarikat pelancongan kerana memberi kerjasama dengan IPD Semporna.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|