UMNO mungkin tanding PRK Bugaya

UMNO mungkin tanding PRK Bugaya

Semporna: UMNO Sabah mungkin meletakkan calon mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya jika pilihan raya kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan diadakan dalam masa terdekat.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, bagaimanapun berkata pihaknya akan membuat pertimbangan termasuk dari segi sokongan rakyat sebelum keputusan mengenai perkara itu dibuat.

Majlis perjumpaan bersama Bung Moktar dan ahli serta pemimpin UMNO Semporna, baru-baru ini.

“Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, kita (BN) tidak meletakkan calon untuk bertanding di kawasan ini dan menyerahkan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk meletakkan calonnya, Daud Tampokon tetapi tewas di tangan calon Parti Warisan (WARISAN), Manis Muka Mohd Darah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perjumpaan bersama kepemimpinan UMNO Bahagian Semporna, di sini, baru-baru ini.

DUN Bugaya diisytiharkan kosong berikutan kematian Manis Muka selaku penyandangnya akibat masalah buah pinggang pada 17 November 2020.

Manis Muka memenangi kerusi DUN Bugaya pada PRN Sabah, September 2020 dengan majoriti 6,005 undi menewaskan enam pencabar lain dalam pertandingan tujuh penjuru.

PRK bagi kerusi berkenaan bagaimanapun ditangguhkan berikutan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong disebabkan penularan pandemik Covid-19.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata ada kemungkinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan PRK Bugaya dalam tempoh terdekat berdasarkan situasi penularan Pandemik Covid-19 yang menyaksikan penurunan ketika ini.

“Keputusan untuk mengadakan PRK di ditetapkan oleh SPR dan kita (BN) sudah bersedia untum menghadapinya termasuk akan menimbangkan untuk meletakkan calon kita,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi BN Sabah, berkata kekalahan calon BN, Datuk Abd Razak Tun Sakaran yang bertanding di kerusi berkenaan pada Pilhan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukan ukuran untuk tidak lagi meletakkan calon.

Malah, katanya keputusan pada PRU-14 itu tidak melemahkan semangat untuk meletakkan calon jika berlaku PRK dalam tempoh terdekat.

“Kita faham pengaruh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Presiden WARISAN ketika itu masih kuat, bagaimanapun dalam situasi sekarang penerimaan semula rakyat kepada BN semakin meningkat.

“Ini dibuktikan dalam beberapa siri PRK dan terkini kemenangan bergaya BN pada PRN Melaka baru-baru ini,” katanya.

Bung Moktar berkata, bagi DUN Bugaya saja UMNO mempunyai sebanyak 180 cawangan dan beliau yakin sokongan padu ahli dari setiap cawangan UMNO mampu membantu BN merampas semula kerusi berkenaan.

Katanya, apa yang penting kepemimpinan UMNO bahagian perlu bekerja keras mendekati akar umbi, manakala semua struktur UMNO bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri perlu digerakkan secara proaktif.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|