Keputusan berkaitan GRS perlu dibincang bersama parti gabungan – Yakub Khan

Keputusan berkaitan GRS perlu dibincang bersama parti gabungan – Yakub Khan

Kota Kinabalu: Sebarang keputusan berkaitan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) termasuk cadangan untuk mendaftarkannya sebagai gabungan politik rasmi akan dibawa ke dalam mesyuarat gabungan berkenaan.

Menjelaskan perkara itu, Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan berkata, perbincangan perlu dibuat melalui mesyuarat GRS sejajar komposisinya yang terdiri daripada gabungan beberapa parti.

“GRS ini disertai beberapa buah parti, jadi sudah tentu apa-apa keputusan yang akan dibuat akan dibawa ke mesyuarat GRS.

“Jadi saya tidak mahu komen ya atau tidak, positif atau tidak sebelum perkara ini dibawa ke meja mesyuarat,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan projek Wonders Of Wilderness-The Ocean (WOW 1.0), di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung maklum balas UMNO Sabah terhadap cadangan untuk mendaftarkan GRS yang dilihat pelbagai pihak sebagai pendekatan yang sesuai ke arah mengukuhkan kedudukan kerajaan negeri pimpinan GRS.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang pendirian rasmi daripada UMNO Sabah berhubung cadangan itu selain kenyataan sedia untuk berbincang mengenainya yang pernah disuarakan Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, sebelum ini.

Semalam, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata sudah tiba masanya pemimpin di Sabah bersatu di bawah payung GRS demi kebaikan rakyat dan negeri Sabah.

Katanya, perkara itu sejajar dengan seruan pelbagai pihak untuk mendaftarkan GRS sebagai satu entiti politik yang semakin kuat didengari dan dirasai dalam kalangan rakyat negeri ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|