Peter perkenal parti baharu di Tenom pada 28 Januari

Peter perkenal parti baharu di Tenom pada 28 Januari

Papar: Bekas Naib Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Peter Anthony akan membuat majlis pengenalan parti baharu yang ditubuhkannya di Tenom pada 28 Januari ini.

Katanya, parti berasaskan Kadazandusun dan Murut (KDM) itu sudah diluluskan pendaftarannya dan hanya menunggu untuk dilancarkan sebelum dipromosikan melalui siri jelajah ke seluruh Sabah.

Peter ditemui media pada majlis bersama penduduk Kampung Biau di Papar.

“Ya sudah diluluskan, majlis pengenalan akan diadakan di Tenom pada 28 Januari ini seterusnya pelancaran dan kita juga akan buat ‘tour’ di seluruh negeri.

“Mungkin ramai yang beranggapan parti baharu ini tidak akan diluluskan, tapi ia sudah diluluskan dan kita tunggu 28 Januari nanti apabila majlis pengenalannya diadakan,” katanya ditemui selepas majlis pertemuan bersama penduduk Kampung Biau, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Juil Nuatim yang turut bersama Peter keluar WARISAN pada akhir bulan lalu untuk menubuhkan parti baharu yang mesra kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Peter yang juga ADUN Melalap, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai nama parti baharu itu sehingga majlis pengenalan diadakan.

Sementara itu, beliau menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menuduh parti baharu yang ditubuhkannya itu akan memecah-belahkan lagi masyarakat khususnya KDM.

Sebaliknya, beliau menegaskan parti baharu itu adalah satu lagi ‘platform’ kepada orang Sabah untuk menyertai perjuangan politik dalam membantu penduduk negeri ini tanpa mengira kaum dan agama.

“Semua maklum, selepas saya membuat pengumuman keluar WARISAN beberapa minggu lalu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan secara terbuka menjemput saya menyertai parti itu dan kita berterima kasih.

“Bagaimanapun, saya sendiri sudah berhubung dengannya, malah pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi memaklumkan penubuhan parti baharu ini bahawa kita bukan mahu memecah-belahkan KDM,” katanya.

Mengulas tindakan pemimpin dan ahli WARISAN di beberapa bahagian yang turut bertindak keluar parti dan memberi sokongan kepadanya, Peter berkata perkara itu secara tidak langsung menyangkal dakwaan yang mengatakan beliau keluar WARISAN disebabkan kes mahkamah.

“Mereka mengatakan saya keluar WARISAN kerana mempunyai kes mahkamah tapi adakah Juil mempunyai kes mahkamah? Bahagian-bahagian yang keluar mempunyai kes mahkamah?,” soalnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|