Tukang masak melecur muka, tangan

Tukang masak melecur muka, tangan

Kota Kinabalu: Seorang tukang masak cedera selepas dapur tempatnya memasak di sebuah restoran di Harbour City, di sini, terbakar petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa lelaki berusia 27 tahun dilaporkan mengalami kecederaan melecur di tangan dan muka.

Keadaan dapur restoran di Harbour City, Kota Kinabalu, yang terbakar petang tadi. Pix Ihsan Bomba 

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.19 petang.

Katanya, sepasukan 12 anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian kebakaran sebuah restoran di Harbour City.

“Kebakaran melibatkan sebuah bangunan restoran jenis kekal terbakar 30 peratus di bahagian dapur.

“Terdapat seorang mangsa melecur di bahagian tangan dan muka dan terus diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, katanya, pasukan operasi bertindak memadam api menggunakan satu aliran dari Jentera FRT.

“Api berjaya dikawal pada jam 4.28 petang sebelum tamat sepenuhnya 20 minit kemudiannya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|