PPM Sandakan usir dua bot laju keluar dari perairan negara

PPM Sandakan usir dua bot laju keluar dari perairan negara

Sandakan: Dua pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menceroboh masuk ke perairan negara di kawasan laut Nunuyan, di sini, menggunakan dua bot laju berjaya dihalang Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan.

Kedua-dua bot laju berkenaan berjaya dikesan hasil operasi Op Gelora yang berlangsung pada pagi hingga lewat tengah hari tadi.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, kedua-dua bot berjaya dikesan ketika rondaan di kawasan tanggungjawab pasukannya.

Katanya, ketika membuat rondaan di kawasan tanggungjawab, pasukan operasi mengesan bot-bot berkenaan dalam keadaan yang mencurigakan dari perairan negara jiran yang memasuki perairan negara sebelum ia berjaya dipintas.

“Hasil pemeriksaan polis mendapati PATI terbabit mendakwa berasal dari Filipina yang ingin memunggah hasil laut ke Sandakan.

“Bot berkenaan kemudiannya diusir dengan diiringi sehingga keluar dari perairan negara,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, Rusdin berkata, PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihaknya.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|