Klinik Kesihatan Mansiat musnah terbakar

Klinik Kesihatan Mansiat musnah terbakar

Keningau: Klinik Kesihatan Mansiat, di Jalan Tulid, Sook, di sini, dilaporkan musnah dalam kejadian kebakaran, petang tadi.

Bangunan berstruktur kayu berkeluasan 1,114 meter persegi itu musnah sepenuhnya selepas dimamah api kebakaran yang bermula kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Pasukan bomba memadam api membabitkan kebakaran Klinik Kesihatan Mansiat di Jalan Tulid, Sook, Keningau, petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.48 petang berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, seramai lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi mendapati sebahagian besar klinik berkenaan sudah terbakar 100 peratus berikutan struktur diperbuat daripada kayu.

“Pasukan operasi terus menjalankan operasi memadam kebakaran dan api berjaya dikawal kira-kira 6 petang tadi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, setakat ini, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

“Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|