Tokoh Maulidur Rasul Ranau giat berdakwah, bantu usahawan kecil

Tokoh Maulidur Rasul Ranau giat berdakwah, bantu usahawan kecil

Ranau: Keprihatinan dalam dakwah dan memainkan peranan penting membangunkan sosio ekonomi terutamanya membantu usahawan kecil menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Itu antara sumbangan tokoh terpilih Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Ranau, Jahinin Siman yang juga Pengurus Besar AIM Wilayah Sabah.

Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Ranau, Jahinin Siman.

Jahinin berasal dari Kampung Sumalang, Ranau merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur atas pengiktirafan yang diberikan kepada dirinya.

Katanya, apa yang pasti, sambutan ini bukan saja bertujuan memupuk kecintaan kepada Rasulullah S.A.W semata-mata.

“Tetapi juga mengajar kita bagaimana baginda menyatupadukan penduduk Madinah, baik dalam kalangan islam iaitu muhajirin dan ansar.

“Malah begitu juga dengan puak bertelingkah bukan islam iaitu dalam kalangan Yahudi hingga keadaan menjadi aman tenteram,” katanya.

Jahinin berkata, ia akan memberi lebih semangat kepada dirinya untuk terus membantu mereka yang memerlukan menerusi tanggungjawabnya.

Sementara itu, perarakan yang diadakan bermula dari padang Majlis Daerah Ranau (MDR) menuju Dewan Masyarakat, di sini, semalam, disertai lebih 4,000 orang membabitkan 52 kontijen.

Perasmian kemudiannya disempurnakan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap  Menteri Kewangan II, Datuk Seri Masidi Manjun.

Masidi dalam ucapannya berkata, beliau amat bangga dengan perpaduan rakyat khususnya di daerah Ranau yang memang terkenal dengan kerajinan mengusahakan tanah pertanian.

Katanya, selain itu, masyarakat di daerah ini juga amat menitik beratkan soal persaudaraan dan keharmonian tanpa membezakan kaum, agama, budaya dan idologi politik.

“Ini terbukti pada hari ini perarakan bukan saja melibatkan mereka beragama Islam tetapi disertai bersama oleh saudara kita yang bukan seagama dengan kita.

“Saya sifatkan ini satu perkembangan yang positif membukti kekukuhan perpaduan, persaudaraan dan keharmonian yang perlu dikekalkan”, katanya.

Hadir sama, mantan Pengarah Jhaeins, Datuk Amri Suratman, mantan Pegawai Daerah Ranau, Datuk Faimin Kamin dan Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin serta Ketua Daerah Ranau OKK Muhasip Ruman.

Sementara itu, Penerima Anugerah Khas Maulidur Rasul yang bertemakan, ‘Keluarga Malaysia Pemangkin  Kemakmuran’ Tahun 1444H/2022 peringkat daerah Ranau disandang oleh Jabay@Jaibie Surugau dari Kampung Kilimu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|