Sabah keluarkan 1,330 geran NT sejak Mei lalu

Sabah keluarkan 1,330 geran NT sejak Mei lalu

Matunggong: Kerajaan negeri telah mengeluarkan 1,330 geran berstatus anak negeri (NT) yang membabitkan hampir 7,000 ekar tanah di seluruh Sabah, sejak 12 Mei tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, geran tanah itu telah diberikan kepada pemohon dari Pitas (206), Telupid (181), Tongod (611), Bandau (51) dan 281 pada hari ini.

Hajiji menyerahkan geran tanah kepada penduduk di Matunggong.

“Lebih banyak permohonan akan diluluskan apabila pemprosesan selesai,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Hajiji menyerahkan geran yang terdiri daripada 1,546.68 ekar tanah dalam satu acara yang diadakan di Dewan Terbuka Matunggong.

Beliau turut memberi jaminan bahawa permohonan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki yang antaranya menaik taraf Matunggong ke daerah penuh, pembaikan jalan dan dewan komuniti baharu sedang dalam pertimbangan.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Ruddy Awah dan Timbalan Pengarah Tanah dan Ukur, Wahab Kanak.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|