PRU-15: Pemimpin bahagian PBRS pertikai kerjasama BN, GRS

PRU-15: Pemimpin bahagian PBRS pertikai kerjasama BN, GRS

Keningau: Hampir semua atau 99 peratus pemimpin bahagian dan penyokong akar umbi Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mempertikaikan jalinan kerjasama di antara Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Exco Pemuda PBRS, Prof Madya Dr Edwin Laimin, berkata ramai penyokong BN termasuk ahli UMNO sendiri tidak bersetuju bekerjasama dengan gabungan yang disebut sebagai pengkhianatan ketika PRU-14 lalu.

Berikutan itu, Edwin berkata beliau menyokong penuh saranan yang dikeluarkan Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup agar BN bergerak secara solo di Sabah pada PRU-15.

“Gabungan ini hanya akan memberikan faedah kepada Perikatan Nasional (PN). Jadi, apa perlunya BN membentuk kerjasama dengan GRS? Adakah BN hanya sekadar menumpang nama GRS seperti melukut di tepi gantang.

“Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengeluarkan kenyataan bahawa kemenangan calon GRS dikira sebagai kemenangan BERSATU kerana ia adalah sebahagian daripada PN.

“Ini bermakna kemenangan GRS hanya akan memberikan faedah kepada PN bukannya, BN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata bantahan yang ditunjukkan oleh majoriti pimpinan peringkat bahagian dan penyokong akar umbi PBRS mengenai kerjasama dengan GRS adalah berasas.

“Bagaimana PBRS dapat bertanding lebih banyak kerusi apabila kerjasama BN Sabah dengan GRS menyebabkan jumlah kerusi untuk BN terhad dan menyukarkan PBRS meminta agihan kerusi tambahan, lagi-lagi PBRS hanya menyandang satu kerusi di Parlimen,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|