PRU-15: UMNO yakin kerusi Labuan kembali ke pangkuan BN

PRU-15: UMNO yakin kerusi Labuan kembali ke pangkuan BN

Labuan: UMNO Labuan yakin kerusi Parlimen Labuan akan kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketuanya, Datuk Bashir Alias berkata ia berdasarkan pencapaian UMNO / BN yang memenangi kerusi Parlimen Labuan sejak PRU-8 pada 1990.

Bashir Alias

Beliau berkata, dengan kekuatan kira-kira 10,000 ahli, BN berpeluang sekali lagi melakar kemenangan di kerusi Parlimen itu.

“Dengan pengalaman yang begitu lama sejak memenangi kerusi Parlimen pada PRU-8 sudah pasti kita mempunyai kelebihan dengan jentera ahli yang berpengalaman begitu besar berbanding dengan parti-parti lain,” katanya ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Labuan, di sini, hari ini.

Pada PRU-14, kerusi Parlimen Labuan dimenangi Datuk Rozman Isli atas tiket BN (UMNO), namun beliau meninggalkan parti dan menyertai Parti Warisan (WARISAN) sejak Oktober 2018.

Sementara itu, Bashir berkata yakin sokongan pengundi baharu (undi18) memihak kepada BN pada PRU-15.

“Mereka yang lahir kira-kira 18 tahun lepas, ketika itu UMNO sedang kuat. Tentunya mereka ini lahir daripada keluarga UMNO dan itu merupakan kelebihan kepada kita.

“Kita berkeyakinan penuh golongan muda di Labuan akan memilih BN untuk kesejahteraan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|