Guna media sosial untuk pertahan parti – Bung Moktar

Guna media sosial untuk pertahan parti – Bung Moktar

Sandakan: Pemimpin dan ahli UMNO diingatkan agar memanfaatkan sepenuhnya media sosial dalam mempertahankan parti serta kepimpinan daripada berterusan menerima tohmahan dan fitnah pihak lawan.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata beliau kecewa kerana kurangnya penglibatan pemimpin dan ahli yang aktif di media sosial bagi membalas segala kritikan serta tomahan pihak lawan.

Bung Moktar (tengah) bersama kepimpinan UMNO Kinabatangan.

Beliau meminta supaya perkara itu diambil perhatian serius terutamanya dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu mengaplikasi perkembangan media sosial yang berperanan sebagai pembela parti dan rakyat bagi menangani pelbagai isu ketika ini.

Bung Moktar menyerahkan bendera BN kepada Ketua-Ketua Daerah Mengundi.

“Pada waktu ini UMNO/BN perlu memanfaatkan segala media sosial untuk menjawab segala tohmahan, persepsi yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak terutama sekali pembangkang.

“Jika kita biarkan ianya akan membawa presepsi negatif kepada parti yang akhirnya merosakkan pemikiran rakyat untuk mempercayai segala tohmahan dan fitnah yang ditaburkan terutamanya di media sosial,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Kinabatangan, di sini, semalam.

Bung Moktar menerima cendera kenangan dari Naib Ketua Bahagian UMNO Kinabatangan, Datuk Pg Aziz.

Menurut Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Kinabatangan, semua pemimpin dan ahli UMNO memiliki telefon pintar yang memudahkan tugas untuk membalas segala tohmahan dan fintah yang dilontarkan kepada parti dan pemimpin.

Namun, katanya kemudahan itu tidak digunakan sebaiknya, sebaliknya mereka hanya sekadar menjadi pembaca, malah lebih malang ada pula yang menyokong kenyataan yang dibuat parti lawan.

“Hari ini maklumat, makluman dan segala data secara formal kurang memberi tarikan kepada masyarakat tetapi masyarakat lebih gemar melihat segala yang berbentuk hiburan, serangan berbentuk fitnah dan dakyah, sindiran serta senda gurauan,” katanya

Tambah Bung Moktar lagi, walaupun UMNO/BN kerap dijadikan sasaran dan tuduhan pihak pembangkang namun pendekatan yang perlu diguna pakai untuk menjawab segala tohmahan dan fintah perlu berasaskan kepada fakta.

“Kerana itu UMNO/BN perlu menjawab fitnah atau berita palsu yang berleluasa bagi membetulkan keadaan dan jangan membiarkan ia menjadi persepsi yang buruk.

“Media sosial turut berperanan penting dalam menjana persepsi imej sesuatu parti. Ia lebih menjurus menjana persepsi yang tidak baik sekiranya persepsi buruk dari pembangkang dikongsi banyak kali oleh netizen,” katanya.

Bung Moktar berkata UMNO/BN terutamanya Biro Penerangan, Pergerakan Pemuda, Puteri perlu menawarkan satu solusi yang berbeza.

Jelashya, walaupun ia berfakta, bukan sahaja menjawab segala fintah dan tohmahan tapi menyampaikan maklumat dasar serta perjuangan parti kepada masyarakat dalam bentuk yang lebih kreatif dan menarik sama ada di media sosial Instagram dan Tiktok agar orang ramai membacanya.

Dalam hubungan yang sama, beliau juga meminta rakyat khususnya ahli parti tidak mudah mempercayai berita yang ditularkan di media sosial serta menularkanya sebelum meneliti kesahihanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|