Berita Bung Moktar, Hajiji menghadap TYT tidak benar – Pejabat TKM

Berita Bung Moktar, Hajiji menghadap TYT tidak benar – Pejabat TKM

Kota Kinabalu: Pejabat Timbalan Ketua Menteri (TKM) menafikan satu keratan berita ditularkan di aplikasi WhatsApp yang menyebut Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menghadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, petang semalam.

Setiausaha Akhbar Bung Moktar, Jaafar Abd Wahid, berkata perkara yang ditularkan dalam kumpulan WhatsApp itu adalah tidak benar, selain sengaja ditularkan individu tidak bertanggungjawab ketika bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semakin dirasai.

Setiausaha Akhbar Bung Moktar, Jaafar Abd Wahid.

“Saya menerima beberapa panggilan dan WhatsApp daripada rakan-rakan bertanyakan kesahihan berita itu sedangkan pada sebelah pagi saya bersarapan bersama Bung Moktar di kediamannya sebelum menghantar beliau pada sebelah petang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) untuk ke Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Jaafar, ketika menerima keratan berita terbabit melalui aplikasi WhatsApp beliau sempat menujukkannya kepada Bung Moktar sambil meminta dirakamkan gambarnya dan memuat naik di media sosial miliknya.

Katanya, Bung Moktar menjelaskan bahawa beliau tidak tahu bagaimana berita itu boleh timbul, namun mengatakan beliau tetap tenang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Dalam masa yang sama, difahamkan Ketua Menteri kemarin berada di Kota Marudu dalam program jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Jaafar menambah setelah meneliti keratan akhbar yang ditularkan itu ianya merupakan keratan berita yang diterbitkan saluran berita dalam talian Astro Awani pada 2020 selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) yang disebarkan oleh individu tidak bertanggungjawab dalam beberapa kumpulan WhatsApp sehingga menimbulkan persoalan kepada orang ramai yang menerima pesanan berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu dimanipulasi ‘cybertrooper’ parti pembangkang ekoran timbul khabar angin yang disebarkan di media sosial mengenai beberapa orang wakil rakyat keluar parti dan meninggalkan GRS.

“Perbuatan menyebarkan berita palsu ini merupakan salah satu usaha pihak pembangkang untuk memecahbelahkan perpaduan penyokong GRS dan Barisan Nasional (BN) khususnya ketika berhadapan dengan PRU-15,” katanya.

Sehubungan itu, Jaafar meminta orang ramai agar tidak mudah mempercayai berita palsu dan menyebarkanya sebelum mendapat kesahihannya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|