Hujan berterusan di pedalaman, pantai barat, Kudat dan Labuan

Hujan berterusan di pedalaman, pantai barat, Kudat dan Labuan

Kota Kinabalu: Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan di Sabah, Sarawak dan Labuan, berkuatkuasa hari ini hingga esok.

Menerusi kenyataan jabatan itu, hujan berterusan dijangka berlaku di Sabah khususnya di kawasan pedalaman, pantai barat dan Kudat.

Daerah yang terbabit termasuk Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau, Tambunan dan seluruh daerah di kawasan barat serta Kudat.

Keadaan cuaca terkini itu disebabkan Ribut Tropika Kuat NESAT yang berada di barat laut Filipina dan dijangka bergerak ke arah barat menuju Pulau Hainan, China.

Katanha, keadaan itu menyebabkan angin kencang di Laut China Selatan khususnya di perairan Condore, Reef North, Layang-layang, Palawan dan Labuan.

“Sehubungan itu, Amaran Hujan Berterusan (Waspada) dikeluarkan berkuat kuasa sehingga 18 Oktober 2022 bagi negeri Sarawak, Sabah dan WP Labuan.

“Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora Kategori Pertama telah dikeluarkan pada jam 9.50 malam, 15 Oktober 2022 dengan kelajuan angin mencapai 40 hingga 50 km/jam.

“Ketinggian ombak mencapai 3.5 meter dijangka boleh berlaku di kawasan perairan Laut China Selatan dalam tempoh 18 Oktober 2022 sehingga 20 Oktober 2022,” kata kenyataan itu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MET Malaysia, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dianukan dengan menghubungi talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|