Bersatu Kota Marudu kekal utuh – Hajiji

Bersatu Kota Marudu kekal utuh – Hajiji

Kota Marudu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kota Marudu kekal utuh walaupun selepas tindakan keluar parti oleh ketuanya, Datuk Wetrom Bahanda.

“Sebagai Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, saya ingin menjelaskan bahawa walaupun Ketua BERSATU Kota Marudu telah meninggalkan parti, saya memberi jaminan bahawa BERSATU akan kekal di Kota Marudu.

Hajiji bersama pemimpin GRS melancarkan Jelajah GRS di Parlimen Kota Marudu.

“Kita akan meneruskan sokongan kepada calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (sebagai Ahli Parlimen Kota Marudu).

“Kita tidak boleh salah perkiraan dalam politik. Saya faham bahawa Parti Warisan (WARISAN) sedang ‘memancing’ terutamanya semasa pilihan raya. Kita tahu niat mereka … cakap tidak serupa bikin.

Hajiji bersama pemimpin dan penyokong GRS pada siri jelajah di Parlimen Kota Marudu.

“Mereka hanya bercakap. Apa yang telah mereka lakukan sepanjang dua tahun setengah sebagai kerajaan Sabah? Mereka tidak mempunyai hala tuju selain berpolitik tanpa apa-apa kepentingan kepada rakyat berbilang kaum di negeri ini,” katanya pada Jelajah GRS Kota Marudu, hari ini.

Menurut beliau kepimpinan Dr Maximus yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) masih sangat diperlukan oleh masyarakat di daerah ini.

Jelasnya, banyak usaha yang telah dilakukan oleh beliau untuk Kota Marudu.

“Sekiranya ada individu tertentu atau pihak pembangkang yang mendakwa bahawa tidak ada perkembangan di daerah ini, itu kita tidak boleh diterima. Ia adalah satu kebohongan secara terang-terangan.

“Kita boleh lihat sendiri bahawa Kota Marudu telah melalui transformasi besar-besaran sejak beliau menjadi Ahli Parlimen dan Menteri Persekutuan,” katanya.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, Maximus merupakan seorang pemimpin yang dihormati oleh pemimpin Persekutuan kerana beliau telah berjuang untuk hak Sabah sejak dari awal.

Katanya, sekarang sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Sabah dan Sarawak, beliau meneruskan perjuangan dalam Majlis Khas MA63.

Tambahnya, GRS juga merupakan sebuah platform yang menyatukan parti-parti yang mewakili masyarakat berbilang kaum di negeri ini, agar Persekutuan akan mendengar Sabah.

“Saya berharap agar rakyat faham asas GRS. Kita tidak boleh mengulangi kesilapan masa lalu, di mana kita mudah berpecah dan tidak dapat menuntut hak kita disebabkan oleh ketidaksatuan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, beliau telah berjumpa dengan Premier Sarawak baru-baru ini, dan mereka bersetuju bahawa Sabah dan Sarawak memerlukan satu suara dalam Malaysia.

Katanya, sejak dua tahun lalu, Kerajaan Negeri telah memperoleh banyak pencapaian.

“Ini yang kita mahu. Jika kita bersatu, kita akan mendapatkannya,” katanya sambil menambah bahawa beberapa kejayaan telah dicapai dari segi Sabah mendapat lebih banyak daripada Petronas, dari sumber minyak dan gas negeri.

Katanya, satu pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat berkenaan ekuiti Sabah dalam projek Petronas di Sabah.

Hadir dalam jelajah itu adalah Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili; Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Datuk Seri Pandikar Amin Mulia; Setiausaha Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Edward Linggu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek merangkap pengerusi penganjur, Hendrus Anding serta para pemimpin bahagian Bersatu Kota Marudu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|