Tiada istilah berpatah arang, berkerat rotan – Annuar Musa

Tiada istilah berpatah arang, berkerat rotan – Annuar Musa

Papar: “Tidak ada yang saya anggap berpatah arang, berkerat rotan,” tegas bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berhubung pandangan beliau mengenai hubungan di antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ketika ini.

Pendirian Menteri Komunikasi dan Multimedia itu sekali gus menafikan bahawa hubungan kedua-dua parti berkenaan renggang terutama di peringkat Pusat.

Annuar ketika melawat Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Dewan Balai Raya Kampung Langkuas, Kinarut, Papar.

“Saya rasa tidak renggang, kita masih dalam satu kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kita masih merupakan gabungan beberapa parti termasuk BERSATU di situ.

“Cuma apa yang berlaku lumrah politik, masing-masing buat pelarasan, jadi biarlah proses ini berjalan secara harmoni kerana ini satu ketentuan tidak dapat dielakkan,” katanya kepada media selepas melawat Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Dewan Balai Raya Kampung Langkuas, Kinarut, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap parti politik sudah pasti akan mengambil strategi masing-masing menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Setiap parti mempunyai kaedah penentuan di pelbagai peringkat jawatankuasa dan sebagainya. Jadi tidak ada yang saya anggap berpatah arang berkerat rotan, terima hakikat bahawa politik mempunyai banyak kebarangkalian.

“Tiada yang tetap dalam politik, jadi kalau lihat ada satu perkara atau dasar yang diputuskan sesuatu parti pada satu-satu ketika, jangan anggap ia tetap. Keadaan mungkin berubah, kita kena pragmatik untuk maju ke depan.

“Cuma pada masa ini, kalau UMNO dan Barisan Nasional (BN) kita sudah ada keputusan dasar yang telah dibuat oleh Perhimpunan Agung UMNO (PAU) maka itulah dasar semasa dan ahli-ahli parti berpegang kepada dasar itu,” katanya.

Kata Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu lagi, pucuk pimpinan mungkin akan berdepan dengan situasi yang berbeza apabila bergerak ke hadapan namun ia boleh dibincangkan.

“Jadi kita lihat di Sabah misalnya, kerajaan negeri Sabah Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-BN, kerajaan di Pusat, Perikatan Nasional (PN)-BN dan itu sedang berjalan dengan baik.

“Tetapi apabila turun ke Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing cuba nasib masing-masing, bertanding sendiri-sendiri, hatta Pakatan Harapan (PH) juga bertanding tujuh parti berbeza.

“Mungkin ini satu strategi, satu ujian, kita pula BN dulu banyak berbelas-belas, sekarang ini empat saja. Kita masuk atas nama BN, jadi saya fikir tidak perlu terlalu khuatir dan saya percaya bila sampai PRU15, pucuk pimpinan setiap parti politik mempunyai formula terbaik,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|