Ibu sebak terima ijazah arwah anak

Ibu sebak terima ijazah arwah anak

Kota Kinabalu: Hanya perasaan sedih dan linangan airmata mengiringi seorang ibu dari Sipitang sebaik terdengar nama anaknya disebut menerima segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ke-22, di sini, semalam.

Berbeza dengan ibu bapa lain yang gembira dengan kejayaan anak masing-masing, bagi Juliana Baru, 57, hanya kesedihan dan sebak yang dirasai ketika mewakili arwah anaknya, Allahyarhamah Nusratina Jalaludin, 24 menerima ijazah.

Ahli keluarga Allahyarhamah Nusratina bergambar kenangan bersama skrol ijazah yang diterima arwah.

Nusratina yang menerima Ijazah Sarjana Muda Kewangan Antarabangsa, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) setelah menamatkan pengajian pada 2020 meninggal dunia pada April 2021 di kediamannya di Sipitang.

Ibu arwah juga kelihatan sebak dan tidak dapat menahan air mata ketika menerima ijazah anaknya yang disampaikan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin.

Lebih menyedihkan, ibu arwah berkata Allahyarhamah sebelum ini amat gembira ketika berjaya menamatkan pengajian, namun tidak sempat merasai menerima segulung ijazah pada majlis konvokesyennya.

Allahyarhamah Nusratina di hadapan Bangunan UMS Kampus Antarabangsa Labuan ketika belajar di kampus berkenaan.

“Masih terngiang-ngiang dalam ingatan saya, arwah sangat teruja untuk menghadiri hari konvokesyennya dan berhasrat ingin bergambar bersama-sama kami sekeluarga.

“Namun, malang tidak berbau, ajal terlebih dahulu menjemput Allahyarhamah,” katanya ketika ditemui selepas menerima ijazah anaknya, di sini, semalam.

Juliana berkata, sebelum meninggal dunia, arwah ada mengadu sakit kepala.

“Lebih memilukan, Allahyarhamah meninggal dunia ketika berada dalam pangkuan ayahnya sambil disaksikan ahli keluarga yang lain.

“Kami masih bersedih dan rindu dengan arwah, tetapi kami juga berbangga dengan pencapaiannya,” katanya menahan sebak.

Juliana menyifatkan anak kelima dari lapan adik beradik itu sebagai seorang anak yang baik, ceria, peramah, taat kepada ibu bapa serta seorang pelajar yang cemerlang sejak di peringkat sekolah rendah.

“Arwah sentiasa mendengar nasihat dan tidak pernah melukakan hati kami. Arwah ingin berjaya dalam hidupnya dan membanggakan saya dan ayahnya.

“Namun Allah lebih sayangkan arwah, dan saya reda dengan semua ini,” katanya.

Pada istiadat konvosekyen itu, Juliana hadir ditemani suami dan anak-anaknya yang lain.

“Saya berterima kasih kepada pihak UMS kerana sudi menjemput kami sekeluarga, saya amat hargainya,” kata Juliana.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|