Nasib bekas wartawan dapat perhatian JPKAS

Nasib bekas wartawan dapat perhatian JPKAS

Lahad Datu: Setelah disiarkan media, nasib bekas wartawan, Norwahida Yamaluddin, 46, atau Maya yang kini lumpuh separuh badan mendapat perhatian Jabatan Perkhidmatan Kebajikan AM Negeri Sabah (JPKAS).

Antara bantuan yang disampaikan ialah katil pesakit untuk kegunaan di rumah, bantuan wang tunai Tabung Bantuan Segera (TBS) dan penyerahan borang perubatan untuk dokumen sokongan permohonan kelulusan bantuan kewangan kebajikan bulanan.

Kesemua bantuan itu disampaikan dalam satu lawatan Majlis Ziarah Kasih oleh Pengarah JPKAS Negeri Sabah, Jais Asri yang diiringi Timbalan Pengarah Operasi JPKAS, Ali Hasan Kahal dan Penolong Pengarah JPKAS Bahagian Tawau, Nurul Fadilah Abdul Hamid.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak JPKAS dan seterusnya kepada semua pihak yang tampil menziarahi saya dan menyampaikan bantuan yang saya tidak dapat sebut semuanya satu persatu.

“Tolong doakan kesembuhan saya,” kata Maya pada lawatan Majlis Ziarah Kasih berkenaan.

Hadir sama ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tungku, Abd Momen Anchai dan beberapa lagi pemimpin lain.

Nasib Maya yang mengalami kesukaran bergerak akibat lumpuh separuh badan selepas diserang angin ahmar atau strok sebelum ini turut dipaparkan Daesoka.com.

Maya yang sebelum ini pernah menjadi wartawan di beberapa agensi dan syarikat akhbar tempatan hilang pekerjaan disebabkan masalah ekonomi syarikat kesan daripada pandemik Covid-19 yang merebak sejak 2020.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|