Suri rumah rugi RM21,400, terpedaya selepas didakwa ada tunggakan cukai

Suri rumah rugi RM21,400, terpedaya selepas didakwa ada tunggakan cukai

Keningau: Seorang suri rumah kerugian RM21,400 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pegawai polis, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa berusia 31 tahun mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita tidak dikenali yang mendakwa dari LHDN, ketika berada di Kampung Patikang, di sini.

Pemanggil memaklumkan mangsa mempunyai cukai tertunggak sebanyak RM36,600 namun dinafikan sebelum panggilan disambung kepada seorang lagi wanita yang mendakwa sebagai pegawai polis dan akan menyiasat kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, wanita yang mendakwa sebagai pegawai polis kemudiannya memaklumkan kes berkenaan akan diselesaikan dalam tempoh enam bulan hingga setahun.

Katanya, tidak cukup dengan itu, panggilan kemudiannya disambung kepada seorang lelaki yang mendakwa dari Bank Negara Malaysia (BNM).

“Lelaki itu kemudian menghantar satu link menerusi aplikasi WhatsApps dan meminta mangsa untuk menekan link serta mengisi butiran lanjut dengan alasan bagi mengelak potongan wang dari mahkamah.

“Selepas beberapa jam, mangsa yang memeriksa akaun bank milik secara dalam talian terkejut selepas mendapati wang sebanyak RM21,400 telah hilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Rafidah berkata, mangsa kemudiannya menyedari ditipu dan terperangkap dengan sindiket penipuan berkenaan terus membuat laporan polis pada 28 Februari lalu.

Katanya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

“Polis menasihati orang ramai supaya tidak mudah mempercayai panggilan telefon daripada mereka yang mendakwa sebagai badan penguatkuasa atau institusi kewangan.

“Selain itu, orang awam juga diminta supaya tidak mendedahkan sebarang butiran perbankan kepada pihak yang tidak dikenali bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

“Orang awam juga dinasihatkan supaya sentiasa menghubungi bilik gerakan IPD Keningau sekirannya terdapat panggilan yang menyamar sebagai pegawai polis untuk pengesahan,” jelasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|