Ranau: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau melancarkan operasi ‘Op Biru’ bagi memantau pemantuhan masyarakat terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, operasi bermula jam 8.30 pagi itu dijalankan bersama 36 orang warga kerja IPD Ranau.

Katanya, gerak kerja berkenaan dibahagikan kepada enam kumpulan bagi memantau di beberapa lokasi sekitar Pekan Ranau dan Kundasang.
“Operasi ini dilaksanakan bagi memantau pematuhan SOP yang ditetapkan KKM di sekitar lokasi tumpuan.

“Sepanjang operasi ini dijalankan, pihak polis turut melaksanakan lawatan situasi sosial bagi mengenalpasti segala permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat sekitar daerah ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Simiun berkata, dalam masa sama, pasukan polis juga menyampaikan maklumat berkenaan isu pencegahan jenayah kepada semua permis perniagaan dan orang perseorangan.
Katanya, setakat ini, Op Biru berjaya mencapai matlamat dalam mendekati masyarakat dengan lebih mesra bagi menyampaikan nasihat dan berkongsi pendapat serta memartabatkan PDRM IPD Ranau di mata masyarakat.
“Sepanjang operasi berjalan, tiada pelanggaran SOP dalam kalangan masyarakat dan semua pihak memberikan kerjasama serta maklum balas yang sangat positif,” katanya.
-Deasoka