Sindiket ceti haram di Tawau tumpas

Sindiket ceti haram di Tawau tumpas

Tawau: Tindakan tegas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya melumpuhkan sindiket pemberi pinjaman tanpa lesen yang dikesan aktif beroperasi sekitar daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal, sindiket ini didapati beroperasi dengan modus operandi pengiklankan tawaran pinjaman menerusi aplikasi media sosial seperti Facebook, WeChat dan WhatsApp.

Katanya, kebanyakannya mangsa atau peminjam yang berurusan dengan ahli sindiket akan dikenakan kadar faedah pinjaman sekitar 10 hingga 15 peratus bagi tempoh seminggu.

“Mangsa yang gagal membayar pinjaman akan dihubungi oleh ahli sindiket diberi tekanan berbentuk ugutan serta ancaman seperti mengunjungi kediaman atau tempat kerja.

“Selain itu, peminjam yang tertekan dengan ancaman berkenaan turut dijerat lagi dengan helah memberi pinjaman baru kepada mangsa untuk melunaskan pinjaman sedia ada,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Jasmin berkata, disebabkan helah berkenaan, pinjaman berterusan itu akan memaksa peminjam membayar balik wang pinjaman yang berlipat kali ganda.

Sementara itu, Jasmin berkata, suspek seorang warga tempatan ditahan bersama barang rampasan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Wang Pinjam 1951 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda antara RM250,000 hingga RM1 juta atau penjara selama lima tahun, atau kedua-duanya.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tawau akan terus komited untuk membuat pemantauan dan risikan secara berterusan bagi mengesan serta mengenal pasti sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen yang bergerak aktif untuk dibanteras secara habis-habisan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|