PTPTN catat kutipan RM3 bilion tahun lalu

PTPTN catat kutipan RM3 bilion tahun lalu

Kota Belud: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) berjaya mencatat kutipan deposit sebanyak RM3 bilion pada tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pada tahun ini pihaknya menyasarkan lebih banyak akaun SSPN dibuka termasuk di Sabah.

Wan Saiful bersama Japlin menyampaikan sumbangan beg sekolah pada Program Si Cilik Ke Sekolah Bersama SSPN di Dewan Masyarakat Tun Said, Kota Belud.

“Kita menyasarkan sebanyak mungkin akaun dibuka dan simpanan deposit yang dikumpulkan. Tahun lepas kita mencatat satu rekod yang baik dari segi kutipan deposit sepanjang tahun.

“Tahun ini cabaran kita untuk jadi lebih baik daripada tahun lepas dan kita akan perbanyakkan kempen menabung. Tahun lepas deposit kita mencecah RM3 bilion kali pertama sejarah PTPTN dan tahun ini kita harap boleh jadi lebih baik daripada itu,” katanya ketika hadir pada Program Si Cilik Ke Sekolah Bersama SSPN di Dewan Masyarakat Tun Said, di sini, hari ini.

Hadir sama, penyelaras Program Si Cilik Ke Sekolah Bersama SSPN, Datuk Japlin Akim.

Mengulas berhubung program itu, Wan Saiful berkata, pihaknya memberi bantuan kepada murid yang berkelayakan bagi kawasan Kota Belud.

“Kita mengenal pasti 100 penerima untuk membuka akaun SSPN iaitu sebanyak RM100 seorang dan peruntukan keseluruhan adalah sebanyak RM10,000 dengan bantuan lain seperti beg sekolah.

“Tujuan kita adlaah untuk memastikan kempen menabung kita jalankan dapat diteruskan dan kita dapat menanam budaya menabung dalam masyarakat tanpa mengira latar belakang mereka.

“Produk yang ditawarkan PTPTN seperti SSPN ini turut boleh dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk mereka yang berpendapatan rendah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|